BuzzPopTV

'The Fantastic Four: First Steps’ Tawan Carta Box Office Malaysia Dua Minggu Berturut-turut

Karya sulung epik Keluarga Pertama Marvel berjaya menawan carta box office Asia Tenggara, dengan meraih kedudukan No.1 di Filipina, Malaysia, Singapura dan Thailand, serta mengungguli carta MPA di Indonesia dan Vietnam.

KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2025 – Terbitan terbaharu Marvel Studios, The Fantastic Four: First Steps, mencatat kutipan pembukaan global sebanyak $218.0 juta (RM922.2 juta) pada hujung minggu pembukaan tayangannya. Setakat ini, filem ini telah mengumpul kutipan keseluruhan $368.7 juta (RM1.5 bilion), sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai filem No.1 di peringkat global selama dua minggu berturut-turut. Di Asia Tenggara, filem ini telah mengutip $14.5 juta (RM61.3 juta) setakat ini, didahului oleh Indonesia ($3.6 juta) dan Filipina ($3.4 juta), dan diikuti oleh Thailand ($2.7 juta), Malaysia ($2.5 juta / RM10.5 juta) dan Singapura ($1.7 juta).

“Amat luar biasa untuk menyaksikan semua peminat kami bersama-sama meraikan Keluarga Pertama Marvel,” ujar Ketua Studio, The Walt Disney Company Asia Tenggara, Rachel Fong. “Latar retro-futuristik ala era 60-an memberi ruang kepada kami untuk menambah lagi keseronokan, daripada aktiviti bertema hinggalah cosplay peminat. Matlamat kami adalah untuk mencipta pengalaman yang benar-benar melibatkan peminat dalam penceritaan – sama ada melalui pertunjukan dron yang hebat di Jakarta, tayangan gala yang dihadiri bintang popular di Bangkok, atau pemasangan pop-up di Singapura, Malaysia dan Filipina. Saya benar-benar tersentuh melihat keterujaan daripada para peminat yang tidak sabar untuk menonton filem ini sebaik sahaja ia tiba di pawagam.”

Di Malaysia, jelajah trak ‘Galactic Café’ telah mencetuskan keterujaan dalam kalangan para pelajar di SEGi University serta pengunjung di pasar hujung minggu ‘Pingmin Hub’ menerusi pengalaman Fantastic Four yang mengasyikkan. Selain itu, kempen ini turut disokong oleh penyertaan aplikasi Touch ‘n Go di seluruh negara, sekali gus memperluas pengalaman menarik ini ke ruang digital.

Berlatarbelakangkan dunia retro-futuristik ala era 60-an, The Fantastic Four: First Steps memperkenalkan semula Keluarga Pertama Marvel— Reed Richards/Mister Fantastic (Pedro Pascal), Sue Storm/Invisible Woman (Vanessa Kirby), Johnny Storm/Human Torch (Joseph Quinn), dan Ben Grimm/The Thing (Ebon Moss-Bachrach) — yang berdepan cabaran paling getir dalam hidup mereka apabila terpaksa mempertahankan planet Bumi daripada ancaman dewa angkasa yang rakus, Galactus (Ralph Ineson), serta utusannya, Silver Surfer (Julia Garner). Paling menarik, filem ini menyerlahkan bagaimana watak-watak protagonis mengimbangi peranan mereka sebagai adiwira sambil menjunjung tinggi nilai kekeluargaan yang menjadi asas kepada identiti sebenar mereka.

Filem aksi-pengembaraan ini turut menampilkan Paul Walter Hauser, John Malkovich, Natasha Lyonne dan Sarah Niles. Ia diarahkan oleh Matt Shakman, diterbitkan oleh Kevin Feige, serta penerbit eksekutif Louis D’Esposito, Grant Curtis dan Tim Lewis.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan The Fantastic Four: First Steps oleh Marvel Studios, yang kini ditayangkan secara eksklusif di pawagam!

#FantasticFourFirstSteps

2 months ago | [YT] | 44